Ahli silat gayong
daftar semula
Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
Ismail Jantan
menunjukkan sijil pendaftaran persatuan itu yang telah diperakui oleh Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Taman Melawati, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 9 Jun -
Kira-kira 50,000 ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia diminta mendaftar
semula keahlian masing-masing selepas pertubuhan itu didaftarkan di bawah
Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Pengerusinya, Datuk Ismail Jantan berkata, arahan mendaftar dengan
ROS itu bukan hanya dikeluarkan Pesuruhjaya Sukan kepada Pertubuhan Silat Seni
Gayong Malaysia tetapi melibatkan semua pertubuhan silat lain.
"Sehingga kini, sebanyak 596 ahli pertubuhan ini telah
mendaftar semula dengan kami berbanding jumlah ahli kira-kira 50,000 orang.
"Sehubungan itu, kami meminta ahli-ahli lain di seluruh
negara tampil melakukan perkara sama supaya mereka menjadi ahli pertubuhan yang
sah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sebelum ini, semua pertubuhan seni silat berdaftar dengan
Pesuruhjaya Sukan namun bermula tahun ini, pendaftaran pertubuhan itu perlu
dibuat di bawah ROS.
Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, pihaknya kini sudah berjaya
mendaftarkan sebanyak 30 cawangan pertubuhan silat sedia ada dengan ROS dalam
tempoh sebulan.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya kini giat menjalankan usaha
memastikan lebih banyak cawangan pertubuhan tersebut yang berjumlah 145
cawangan di seluruh negara mengambil langkah sama.
"Langkah ini perlu dilakukan supaya setiap cawangan dapat
menjadi pertubuhan sah mengikut peraturan dan undang-undang baharu
tersebut," katanya.
Mana-mana ahli yang mahu mendapatkan maklumat lanjut atau
mendaftar semula cawangan sedia ada boleh menghubungi 06-3851811 atau
012-6877091.
·