Ahad, 9 Jun 2013

UTUSAN MALAYSIA - 10 JUN 2013

Ahli silat gayong daftar semula
Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my
http://utusan.com.my/pix/2013/0610/Utusan_Malaysia/Dalam_Negeri/dn_21.1.jpg
Ismail Jantan menunjukkan sijil pendaftaran persatuan itu yang telah diperakui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Taman Melawati, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 9 Jun - Kira-kira 50,000 ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia diminta mendaftar semula keahlian masing-masing selepas pertubuhan itu didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Pengerusinya, Datuk Ismail Jantan berkata, arahan mendaftar dengan ROS itu bukan hanya dikeluarkan Pesuruhjaya Sukan kepada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia tetapi melibatkan semua pertubuhan silat lain.
"Sehingga kini, sebanyak 596 ahli pertubuhan ini telah mendaftar semula dengan kami berbanding jumlah ahli kira-kira 50,000 orang.
"Sehubungan itu, kami meminta ahli-ahli lain di seluruh negara tampil melakukan perkara sama supaya mereka menjadi ahli pertubuhan yang sah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sebelum ini, semua pertubuhan seni silat berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan namun bermula tahun ini, pendaftaran pertubuhan itu perlu dibuat di bawah ROS.
Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, pihaknya kini sudah berjaya mendaftarkan sebanyak 30 cawangan pertubuhan silat sedia ada dengan ROS dalam tempoh sebulan.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya kini giat menjalankan usaha memastikan lebih banyak cawangan pertubuhan tersebut yang berjumlah 145 cawangan di seluruh negara mengambil langkah sama.
"Langkah ini perlu dilakukan supaya setiap cawangan dapat menjadi pertubuhan sah mengikut peraturan dan undang-undang baharu tersebut," katanya.
Mana-mana ahli yang mahu mendapatkan maklumat lanjut atau mendaftar semula cawangan sedia ada boleh menghubungi 06-3851811 atau 012-6877091.

·     

Kisah Kami

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...